Persidangan Nusantara Isu-isu Perubatan Dari Perspektif Islam 2023

Mempersembahkan barisan tetamu kehormat & pembentang pada Persidangan Nusantara Isu-isu Perubatan Menurut Perspektif Islam 2023 yang bakal berlangsung pada 14-15 Oktober 2023.

Ucaptama dan Perasmian bakal disampaikan oleh Yang Berbahagia Datuk Dr. Norhayati binti Rusli, Timbalan Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam) Kementerian Kesihatan Malaysia.

Tema persidangan pada kali ini ialah Memacu Kelestarian Perubatan: Integrasi Dinamik Perubatan Moden dan Islam bakal membawa kupasan isu-isu perubatan kontemporari, pandangan Islam kepada bahan-bahan ketagihan, isu perubatan dan kepimpinan serta kesukarelawanan, isu HIV & LGBT serta integrasi perubatan moden dan prinsip syariah islam.

Daftar sekarang melalui pautan: https://nucmi.unishams.edu.my/

Lawati medsos rasmi kami di :

FB : https://fb.watch/mc6sLHu5nP/?mibextid=Nif5oz

TIK TOK : https://vt.tiktok.com/ZSLCyXbwf/

Alhamdulillah program Hemat untuk pelajar perubatan yang akan menduduki peperiksaan tahun akhir ‘ Nurturing Future Doctors ‘ telah berlangsung dengan jayanya.Program yang melibatkan pelajar perubatan dari universiti tempatan terutamanya di sekitar lembah Klang – UKM, USIM, UPM, UOC,UITM, USM dan juga UNIMAS telah dibahagikan kepada 2 siri iaitu siri pertama -Revision class bersama pakar- pakar perubatan papisma yang telah dijalankan secara atas talian pada 15.7 2023.Majlis telah dirasmikan oleh Presiden papisma sendiri Dato’ Dr Suhaini Kadiman. Sambutan amat menggalakkan dan kami mendapat feedback dari peserta supaya masa untuk setiap talk dilanjutkan. Seramai 79 orang pelajar perubatan telah menyertai program siri pertama ini.

Siri kedua pula telah dijalankan pada 29.7.2023 secara fizikal bertempat di jabatan radiologi Hospital Canselor UKM.Siri kedua ini adalah berbentuk ‘Mock Exam ‘ -unmanned osce. Seramai 38 pelajar dari 6 universiti tempatan iaitu UKM, USIM, UPM, UoC,USM dan UITM telah menyertai program ini.Prof Faizah Mohd Zaki sebagai penyelaras program radiologi UKM bersama Dr Yusuf, pensyarah klinikal ( Nephrology ) telah hadir bersama-sama untuk berbincang soalan-soalan osce dengan pelajar- pelajar perubatan.

Tahniah diucapkan kepada pengarah program Dr Mawaddah Mohd Saat atas kejayaan program dan semua AJK yang telah memberikan komitmen yang jitu sejak dari awal lagi.AJK adalah terdiri dari ahli papisma dan papisma student chapter – PSC.

Di harap program ini dapat memperkenalkan papisma sebagai sebuah NGO kesihatan kepada pelajar- pelajar perubatan dan menjadi pemangkin perkaderan di sesetengah universiti yang hampir pupus.

 

Disediakan oleh:

Ms Afizah
Exco Hemat PAPISMA

 

PAPISMA mengambil maklum bahawa bacaan kedua bagi Akta Kawalan Produk Tembakau dan Rokok 2023 tidak akan berlaku pada sesi Parlimen ini (1). Ia merupakan suatu kelengahan sedangkan produk nikotin sudahpun dikeluarkan daripada senarai racun dan bebas dijual di pasaran.

 

PAPISMA juga amat bimbang dengan sikap sesetengah ahli parlimen, seperti Ahli Parlimen Sungai Buloh Datuk R. Ramanan, yang mencadangkan agar orang muda menentukan sendiri baik dan buruk merokok dengan memberi bandingan kebebasan mengundi (2).

 

Tanpa perlu menunggu lama, tindakan ini telah pun mengakibatkan kesan mudarat. Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia melaporkan peningkatan mendadak kes EVALI iaitu sebanyak 17 kes hanya pada 2 minggu pertama bulan Jun 2023 (3).

 

Sebuah kes kematian remaja 16 tahun disyaki akibat EVALI sedang dalam siasatan (4) dan pada minggu lepas,Bernama (5) telah juga melaporkan kes bayi berusia 2 tahun yang keracunan cecair nikotin dan telah dimasukkan ke pusat Rawatan kritikal dan mengalami sawan sebanyak 2 kali (6).

 

Wawenang kelengahan tidak munasabah hanya akan mendatangkan kesan lebih buruk buat masyarakat dan negara. Kegilaan mengaut keuntungan, perlu dibendung dengan rasa tanggungjawab buat kesemua rakyat Malaysia.

 

PAPISMA juga telah mendapat salinan 2 pucuk surat bagaimana pihak industri rokok telah dengan agresifnya melobi penggunaan vape dan cuba memberi tekanan supaya Akta Kawalan Produk Tembakau dan Rokok 2023 tidak dibentangkan.

 

Kelulusan penjualan produk nikotin Vape dengan cukai yang amat rendah, tanpa kawalan Akta yang berkaitan adalah polisi yang senget dan sumbang, serta mendatangkan mudarat besar.

 

Justeru, PAPISMA melaungkan kepada semua Ahli Parlimen, dan seluruh rakyat Malaysia untuk berani bersama menyanggah polisi yang senget dan sumbang ini, seterusnya mendesak agar Akta Kawalan Produk Tembakau dan Rokok 2023 dibentangkan di Parlimen dengan segera, demi menjaga kesihatan dan kesejahteraan masyarakat.

 

PERTUBUHAN AMAL PERUBATAN IBNU SINA MALAYSIA

 

(1)https://codeblue.galencentre.org/2023/06/12/tobacco-bill-shockingly-diverted-to-select-committee-after-first-reading/

 

(2) https://malaysia.news.yahoo.com/sungai-buloh-mp-youths-allowed-061632412.ht

 

(3) https://www.thesundaily.my/local/health-dg-17-evali-related-cases-detected-FJ11098148

 

(4) https://themerdekatimes.com/news/2023/06/remaja-perempuan-16-tahun-maut-disyaki-akibat-vape/

 

(5) https://www.bernama.com/bm/am/news.php?id=2195323

 

(6) https://twitter.com/kkmputrajaya/status/1665716788364029952?s=46&t=pv6671mrH4cGu1eJIQ50oQ

DAPATKAN E-ISBN MELALUI PAPISMA. PAPISMA IALAH SEBUAH PENERBIT DI BAWAH PERPUSTAKAAN NEGARA

Tahukah anda PAPISMA ialah penerbit berdaftar. E-ISBN dan PDP* boleh diperolehi daripada Perpustakaan Negara kepada mereka yang mendaftarkan penulisan di bawah Penerbit “Pertubuhan Amal Perubatan Ibnu Sina Malaysia”

 

Ada penerbitan dan anda ingin mendapatkan E-ISBN melalui PAPISMA?

 

Ini langkah-langkahnya:

 

1. Pastikan penerbitan anda siap disemak dan mempunyai format/ ciri-ciri ini: 

-Bibliografi

-Muka Hadapan (file dinamakan : coverpage_PENERBIT PAPISMA)

-Mukasurat Judul (file dinamakan : mukasuratjudul _PENERBIT PAPISMA)

-Mukasurat Hakcipta (file dinamakan : hakcipta_PENERBIT PAPISMA)

-Prakata / Sinopsis (file dinamakan : preface_PENERBIT PAPISMA)

-Mukasurat Isi Kandungan (file dinamakan : toc_PENERBIT PAPISMA)

-Memasukkan logo dan perkataan diterbitkan oleh Pertubuhan Amal Perubatan Ibnu Sina Malaysia.

 

2. Maklumkan hasrat kepada Exco Penerbitan PAPISMA.

 

3. PAPISMA akan memberikan E-ISBN terakhir penerbitan terdahulu (perlu dimuat naik semasa mendaftar) dan memuat naik ke Web PAPISMA.

 

4. Ahli boleh memohon E-ISBN apabila perkara 1 hingga 3 dipenuhi melalui link ini:

KLIK :

https://forms.gle/LVBShzAZAtBYJtP46

 

5. Nombor E-ISBN akan diperoleh melalui emel dalam 2-3 hari bekerja.

 

-Penerbit PAPISMA-

ORANG ASING NIKAH WARGA TEMPATAN

Ditulis oleh :Mejar (Dr) Khairul Afnan bin Khalid (Bersara)

Ramai marah-marah apabila warga asing dikatakan ambil kesempatan bernikah warga tempatan. Marah orang luar merasai keberkatan Tanah Melayu ini. Ia difahami kerana hasil-masulnya pun kita saling rebut-rebutkan, ini pula ada yang datang meratah sama.

 

Seorang kenalan bercerita. Abangnya suatu hari suka dan bangga, anak perempuannya bakal bernikah dengan orang arab. Dipendekkan, bernikahlah mereka. Sukanya tidak bertahan lama, apabila didapati menantunya tidak solat dan kemungkinan beraliran syiah. Lalu jadilah duka.

 

Dalam kisah yang lain, terutama di era susah mencari pekerja dewasa ini, ramai majikan Melayu yang terpaksa mengambil pekerja warga asing, kerana warga tempatan biasanya tidak bekerja lama dan tidak berminat dalam kerja-kerja yang berat. Warga asing itu, datang dengan niat mencari kerja dan wang bahkan itulah focus mereka. Sudah di sini, terpikat pula si dara.

 

Kedatangan Islam ke tanah melayu juga perlu diimbau. Golongan Syed, Sharifah, Wan dan Nik dikatakan membuktikan bagaimana dakwah dari orang asing mengubah kita. Juga bagaimana nama seorang china dari 3 perkataan, akan ditambah nama ala-ala orang putih seperti Jessica, Jeremy dan lain-lain apabila mereka dibaptis dalam agama Kristian.

Gambar Sekadar Hiasan

Kita juga tahu bagaimana Malaysia hari ini sudah mempunyai warganegara yang tidak pun pandai bertutur bahasa Melayu. 300,000 pelancong hilang, masuknya ada, tetapi tidak keluar dari Malaysia. Kerajaan hari ini pula telah meluluskan dan memudahkan akan memberi kewarganegaraan kepada anak yang lahir dari luar negara, tetapi ibunya warga Malaysia. Begitu juga Sarawak sudah mengubah tafsir bumiputera kepada tafsiran yang lebih longgar.

 

Sehari dua ini lahir hero membasmi warga asing. Tahniah diucapkan. Harap dipanjangkan juga usaha itu kepada pendatang asing yang lebih hebat sehingga mampu memiliki I.C dalam negara ini secara haram.

 

Saya juga memerhatikan, jika seorang warga cina bernikah dengan warga India, anaknya akan nampak macam orang Melayu. DNA Melayu yang kedua tertua didunia, juga jauh sudah bercampur dengan seluruh pelusuk dunia. Ini cerita kahwin nikah mati beranak 2 juta tahun.

 

Saya tidak pastilah kita marah kepada apa sebenarnya. Dahulu nusantara dan kesultanan Islam yang besar dan gah bernaung dibawah Turki Uthmaniah, habis dipecahkan dengan sempadan dan passport…apakah kerana itu?

 

Kita marah kerana warga asing buat onar dikawasan perumahan kita? Warga kita pun sama nakalnya.

 

Kita marah kerana warga asing bernikah dan berniaga? Nikah dan niaga itu bukanlah dosa. Wanita melayu itu dapat suami yang kuat bekerja dan lelaki itu membahagiakannya…derita pun ada dari masa ke masa.

 

Atau kita marah sebab kegagalan kita sendiri? Adakah yang mahu mengakui? Kita marah warga asing ada, rupanya rakan melayu kita yang ambil rasuah buka pintu sebesarnya.

 

Apa yang sebenarnya yang saya cuba disampaikan?

 

Sebenarnya, percampuran nikah dan asimilasi masyarakat telah lama berlaku, sedang berlaku dan akan terus berlaku.

 

Ada asimilasi yang berlaku kerana keperluan hidup, yang secara fitrahnya adalah kerana mencari sesuap nasi. Majikan yang hendak terus membuma pintu kedainya dan kilangnya.

 

Ada similasi yang berlaku kerana dakwah dan dakyah. Dakwah banyak berlaku di semenanjung, sedangkan dakyah kuat di pedalaman Sabah dan Sarawak dan dikatakan borneo aman.

 

Ada asimilasi yang diatur untuk merubah kuasa politik. Penempatan melayu ditambak dan dijadikan kawasan komersil dan mahal seperti yang lulus untuk selatan Pulau Pinang. Skim rumah pertamaku untuk membolehkan orang yang kurang kemampuan membeli rumah dibandar-bandar. Merubah peratusan penduduk. Memberi kad pengenalan dengan mudah.

 

Ada asimilasi paksa. Lihat bagaimana Indonesia hanya mempunyai sekolah 1 aliran, orang cina sana bernama ala-ala Indonesia dan bercakap Indonesia lancar. Lihat bagaimana warga Islam uighur habis dipaksa kahwin dengan agama lain di China.

 

Asimilasi ini senantiasa berlaku. Samada kita bersahabat dengannya dan ia menjadi kekuatan kita. Atau kita memusuhinya, kemudian tidak perasan ada orang lain menjadikannya senjata.

 

Akhir kalam, saya cuma mencadangkan 2 perkara.

 

1. Pendidikan di Malaysia, kekal dalam bahasa Melayu dan Inggeris. Ditambah wajib opsyen bahasa Cina atau India. Ini baik untuk perdagangan dan perpaduan. Nabi juga berpesan agar kita belajar bahasa kaum lain.

 

2. Buat program pertukaran i.c baharu. Pulangkan i.c yang dipegang dan ditukar kepada yang ada rupa rekaan baharu. Kita akan dapat membersihkan i.c palsu dan pemegang i.c haram.

 

Biasanya apabila saya tulis topik ini, akan ada yang kata, nanti anak nikah warga asing, baru padan muka. Saya jawab, nikah kahwin itu takdir dariNya.

Strok haba merupakan suatu penyakit yang serius

📑Pengenalan dan epidemiologi

Jabatan Meteorologi Malaysia telah melaporkan bahawa gelombang panas dan kering sedang melanda negara akibat peralihan monsun dan keadaan ini dijangka berterusan sehingga bulan Julai 2023. Situasi ini juga melanda negara-negara lain termasuk Thailand,

Strok haba merupakan suatu penyakit yang serius akibat pendedahan kepada keadaan sekeliling yang panas melampau sehingga menyebabkan badan tidak mampu menstabilkan suhu badan.

Strok haba berlaku apabila suhu badan meningkat dengan cepat melebihi 40°C atau lebih. Kejadian strok haba boleh berlaku secara tiba-tiba atau berperingkat.

Strok haba boleh menyebabkan kegagalan saraf dan organ, seterusnya mengancam nyawa akibat keadaan hipertemia teruk.

Kadar kejadian stroke haba adalah berbeza bergantung kepada faktor geografi, cuaca dan aktiviti penduduk setempat. Risiko strok haba adalah tinggi apabila berada dalam keadaan suhu sekeliling melebihi 39.2°C.

Berasarkan laporan WHO (2023), fenomena gelombang haba berterusan di Eropah pada pertengahan tahun 2022 telah menyebabkan lebih 20,000 kematian akibat strok haba. Pada tahun 2006 hingga 2010 dilaporkan dalam satu jurnal perubatan (2016) iaitu terdapat 3332 kematian di sebabkan strok haba di Amerika. Di Malaysia pula, 200 kes penyakit berkaitan cuaca panas telah dilaporkan pada tahun 2016. 52 kes adalah kejang panas (heat cramps iaitu hipertermia dan kejang otot), 126 kes adaah letih panas (heat exhaustion iaitu kelesuan dan pitam), dan 22 kes adalah strok haba (kulit kemerahan dan kering, loya, muntah dan koma), yang mana ianya termasuk 2 kematian disebabkan strok haba. Untuk tahun semasa, berdasarkan kenyataan Kementerian Kesihatan Malaysia pada 28 April 2023, terdapat 5 kes berkaitan cuaca panas iaitu 3 kes berlaku di Sarawak yang melibatkan kekejangan haba (2 kes) dan kelesuan haba (1 kes), dan 2 kes di Kelantan iaitu kelesuan haba (1 kes) dan kematian (1 kes). Oleh itu, tindakan aktif hendaklah diambil bagi mengelak kejadian penyakit berkaitan haba seperti strok haba.

Perhatikan tanda-tanda ini

📑Tanda dan gejala

a.Denyutan jantung menjadi cepat

b Pernafasan laju dan pendek

c.Badan terasa panas dan kering

d.Sakit kepala, pening dan kepala rasa berpusing

e.Rasa mual

f.Tidak selesa dan keliru

g.Peningkatan suhu badan secara mendadak sehingga 40°C atau lebih

h.Tekanan darah menurun

i.Tidak sedarkan diri, pengsan atau sawan

Golongan yang berisiko tinggi

📑Komplikasi strok haba dan golongan berisiko tinggi

Kejadian strok haba terjadi apabila badan terdedah kepada keadaan sekeliling yang panas melampau sehingga menyebabkan badan dehidrasi dan kegagalan menstabilkan suhu badan.

Individu yang melakukan aktiviti/bekerja/bertugas dengan keadaan sekeliling yang panas dikenalpasti berisiko tinggi mendapat strok haba seperti pekerja pembinaan, petani, pengawal keselamatan, polis, tentera, bomba, pengendali jentera berhaba, atlit dan aktiviti-aktiviti luar lain di bawah sinaran matahari terik.

Selain itu, beberapa golongan rentan dikenalpasti meningkatkan lagi risiko mendapat strok haba seperti warga emas, kanak-kanak dan individu dengan penyakit kronik.

Strok haba tidak boleh dipandang ringan kerana ia boleh mendatangkan komplikasi serius. Berdasarkan satu artikel yang ditulis oleh Bouchama et al (20222), kesan jangka pendek akibat dari pendedahan mengejut kepada cuaca yang panas boleh mengakibatkan sel-sel badan cedera, keradangan, darah senang beku dan berlaku pendarahan di beberapa organ penting. Manakala mangsa strok haba boleh mengalami kesan jangka panjang seperti masalah saraf, sistem kardiovaskular, dan risiko kematian. Berdasarkan satu kajian dari Jepun yang diterbitkan pada tahun 2020, kadar kematian akibat dari pendedahan kepada suhu panas adalah 4.6%, di mana kebanyakannya melibatkan mangsa yang berumur antara 49-82 tahun. Kajian tersebut juga melaporkan 16.6% pesakit mengalami masalah saraf (poor neurological outcome).

Pencegahannya

📑Pencegahan

a.Elakkan melakukan aktiviti di bawah sinaran matahari terik atau dalam keadaan yang panas untuk tempoh yang panjang.

b.Elakkan melakukan aktiviti fizikal dalam keadaan letih, lapar atau dahaga yang keterlaluan.

c.Pastikan diri terhidrat dengan minum air kosong 3 hingga 4 liter sehari.

d.Amalkan pemakanan sihat dan seimbang.

e Memakai pakaian yang longgar dan ringan serta pelindung haba seperti topi atau payung

f Tidak meninggalkan sesiapa di dalam kenderaan yang parkir di bawah matahari terik.

g.Pastikan pengudaraan yang cukup atau pendingin hawa jika berada dalam rumah atau premis.

Rawat sebelum terlambat

📑Rawatan

Rawatan di tempat kejadian :

a.Alihkan mangsa dari sinaran matahari yang melampau ke tempat berbumbung atau mempunyai hawa dingin.

b.Sejukkan mangsa dengan kain yang lembap atau siram dengan air sejuk.

c.Berikan udara segar, halakan kipas secara terus atau kipas mangsa menggunakan kertas surat khabar.

d.Sekiranya mangsa sedar, berikan minuman sejuk dan segar.

e.Dapatkan bantuan kecemasan melalui talian 999 dengan segera.

Nasihat kepada orang awam

📑Nasihat kepada orang awam

a.Mendapatkan rawatan segera jika mempunyai tanda-tanda awal penyakit berkaitan haba.

b.Sentiasa mendapatkan maklumat cuaca terkini daripada pihak MetMalaysia dan amaran kesihatan berkaitan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia.

c.Melakukan senaman dan aktiviti-aktiviti luar dengan mengelak ketika cuaca panas terik.

 

Rujukan:

Bouchama, A., Abuyassin, B., Lehe, C., Laitano, O., Jay, O., O’Connor, F. G., & Leon, L. R. (2022). Classic and exertional heatstroke. Nature Reviews Disease Primers, 8(1), 8.

MKN. (2023). Tips Menghadapi Cuaca Panas. Majlis Keselamatan Negara. Retrieved April 26, 2022, from https://www.mkn.gov.my/web/ms/2023/04/16/amalkan-tips-sihat-dalam-menghadapi-cuaca-yang-panas-elak-dari-terkena-strok-haba/

MyHealth. (2019). Strok Haba (Heat Stroke). Kementerian Kesihatan Malaysia. Retrieved April 25, 2023, from http://www.myhealth.gov.my/strok-haba-heat-stroke/

 

Suparta, W., & Yatim, A. N. M. (2017). An analysis of heat wave trends using heat index in East Malaysia. Journal of Physics: Conference Series, 852, 12-15. doi:10.1088/1742-6596/852/1/012005

 

WHO. (2023). Statement – Climate Change Is Already Killing Us, But Strong Action Now Can Prevent More Deaths. World Health Organization. Retrieved April 25, 2023, from https://www.who.int/europe/news/item/07-11-2022-statement—climate-change-is-already-killing-us–but-strong-action-now-can-prevent-more-deaths

 

Oleh : Prof Madya Dr Nik Rosmawati Nik Husain (MD, MMed (Public Health), PhD)

 

#PAPISMA

#strokhaba

 

eBENCANA dan MASA DEPAN KITA MENGHADAPI BENCANA

oleh: Mejar (Dr) Khairul Afnan Bin Khalid – Bersara, ahli pakar rujuk pembangunan sistem EBencana.

Kita dikejutkan lagi dengan amaran Malaysia sendiri boleh mengalami gempa bumi sehingga mencapai 6 sekala Richter. Ini bermaksud bahawa jika berlaku gempa di satu-satu pusat, kerosakan yang signifikan dan jelas akan berlaku dikawasan tersebut. Benar atau tidak, kita pernah merasa saki baki gegaran dari Acheh pada 2004, dan yang lebih penting kita membuat persiapan.

Tidak cukup dengan amaran itu, beberapa negeri di pantai timur semenanjung turut sedang mengalami cuaca panas luar biasa sehingga bulan Ogos nanti. Sehingga artikel ini ditulis, sudah 2 kematian kanak-kanak dikaitkan dengan kejadian cuaca panas atau disebut sebagai Stroke Haba.

Secara peribadi dari pengalaman, jika kemaraunya ekstrem, musim tengkujuhnya juga berkemungkinan ekstrem. Pada Disember 2022, apabila hujan terlalu lebat di Kota Bharu, Kelantan sehingga menyebabkan banjir kilat, walaupun dikawasan-kawasan beraliran air longkang yang baik.

Trend cuaca ekstrem dan “Hujan Curah” berlaku hampir dikesemua negeri sebagai kesan dari pemanasan bumi, pencairan ais kutub-kutub, dan peningkatan aras air laut.

Ketika apa jua bencana yang berlaku, keperluan manusia tetap sama. Air, makanan, pakaian, kebersihan, kesihatan dan pengangkutan. Keperluannya tetap sama menjadikan keperluan asas manusia dalam bencana tetap serupa.

Perbezaan yang berlaku adalah kepakaran mengawal risiko bencana diperingkat akut atau kecemasan. Tanah runtuh memerlukan Jabatan kerja raya, bomba dan smart. COVID 19 memerlukan KKM dihadapan. Peperangan memerlukan Angkatan Tentera Malaysia maju bersenjata. Bencana maritim memerlukan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia bergerak tangkas. Manakala Polis DiRaja Malaysia, kekal menjadi ketua menyelaras di Pusat Kawalan Tempat Kejadian selain memantau keamanan masyarakat awam terkesan.

Menyedari hal-hal berkenaan, sejak 8 tahun lepas telah diusahakan Sistem Pengurusan Bencana Negeri Kelantan atau kependekannya adalah EBencana, yang dilancarkan pada 7 Febuari 2023 lepas. Sistem ini dibangunkan dengan memanggil semua pemegang taruh bencana dari sebawahnya iaitu para penghulu, penggawa, pihak berkuasa tempatan, agensi-agensi pusat dan negeri bagi memastikan kesemua keperluan diambil kira.

Ia membolehkan mengsa memaklumkan kejadian, kejadian dan info disahkan (supaya tidak berlaku penipuan), pendaftaran mangsa dan akaun dipercepatkan, keperluan kelompok mangsa dijana dengan teratur dan arahan pengagihan bantuan disampaikan dengan cepat dan tepat dengan bantuan GPS.

Sistem ini sudah bermula, dan rakyat dinegeri Kelantan sudah boleh mula mendaftarkan diri dan NGO masing-masing dalam sistem berkenaan. Data awalan yang dimasukkan akan membolehkan bantuan dan pemantau dipercepatkan apabila bencana sebenar berlaku kelak.

-Masa Hadapan eBencana-

Namun, sistem ini baru sebahagian dari Ekosistem Pengurusan Bencana. Ruang menjadikannya sistem yang lestari dan mampan masih terbuka luas.

Lawatan kami ke pihak Agensi Pengurusan Bencana Negara telah mendapat terdapat keperlu bagi mempercepatkan pembayaran kepada mangsa bencana. Sistem EBencana yang dibangunkan telah dilengkapi dengan sistem pemakluman akaun bayaran mangsa dengan pengesahan status mangsa oleh para penghulu dan penggawa secara online. Ini diharapkan dapat mempercepatkan pembayaran dan mengelakkan penipuan serta keciciran.

Antara kerisauan yang biasanya dimaklumkan kepada kami adalah terputusnya sistem internet ketika bencana. Sebenarnya penyelesaiannya sudahpun ada. Untuk pengetahuan pembaca, banyak pihak tidak dimaklumkan bahawa, agensi-agensi kerajaan ada yang mempunyai sistem internet mobil (mudah alih) yang boleh berhubung terus kepada satelit tanpa melalui pencawang syarikat telekomunikasi yang tiada bekalan elektrik. Agensi seperti Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia dan Angkatan Tentera Malaysia mempunyai aset-aset ini.

Saya sarankan untuk setiap PBT dan Jabatan mempunyai aset perhubungan satelit masing-masing memandangkan risiko bencana yang pelbagai semakin meningkat dewasa ini.

Hasil dari data dijana dari sistem EBencana ini juga akan mewujudkan big data analytics dan Kepintaran Buatan (AI) akan dapat memaklumkan kita, keadaan bencana yang bagaimana akan mengesankan berapa ramai mangsa pada satu-satu masa dan tempat. AI berkait bencana ini, dengan kepimpinan dan pengetahuan para profesional kita, akan boleh memaklumkan bakal mangsa akan risiko ditempat mereka melalui apa juga kaedah perhubungan yang bersesuaian. Kita sepatutnya hanya memerlukan 2-3 tahun lagi untuk menghasilkan AI ini jika ada “political will” yang sepatutnya dan berani mencuba dan keluar dari zon selesa.

Sistem eBencana ini apabila matang kelak, saya berkeyakinan akan mampu, dipakejkan, dan mendatangkan hasil kepada kerajaan apabila kita menjadi dengan negara yang mampu menyelamatkan negara-negara lain hasil rekaan sistem yang kita buat bermula di negeri Kelantan ini. Kita akan lahirkan sebuah Unicorn insyallah.

Kenyataan Media PAPISMA

1. PAPISMA mengucapkan terima kasih kepada YAB Tan Seri Muhyiddin Yassin atas di atas komitmen padu dan keputusan yang tegas bagi mengatasi wabak Covid-19.

2. PAPISMA yakin arahan Perintah Kawalan Pergerakan mulai 18 March 2010 adalah bertujuan utama untuk mendidik rakyat Malaysia agar serius dengan usaha-usaha pencegahan wabak yang telah diambil oleh KKM selama ini. Sehubungan itu PAPISMA menyeru seluruh rakyat Malaysia agar patuh dan bersabar sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan.

3. PAPISMA juga ingin merakamkan setinggi-tinggi ucapan syabas dan terima kasih kepada seluruh anggota kesihatan dan perubatan kerajaan mahupun swasta yang sentiasa berada di barisan hadapan bagi memastikan kesihatan dan kesejahteraan rakyat Malaysia. Usaha mereka wajar mendapat sokongan padu seluruh rakyat terutamanya diwaktu yang sukar ini. Mereka juga ada keluarga yang disayangi, dan turut merasa kesukaran hidup diwaktu seperti ini. Sedikit bantuan yang boleh membantu kehidupan mereka akan pastinya memudahkan mereka melaksanakan tanggung jawab mereka dengan lebih baik.

4. Marilah kita menghadkan perjalanan hanya untuk urusan yang amat penting sebaliknya kita gunakan masa yang terluang ini dengan aktiviti-aktiviti berkualiti dan bermenafaat bersama keluarga dirumah. Hidupkan suasana kemesraan dan dan wujudkan sistem sokongan keluarga yang kuat terutama untuk membantu ahli keluarga yang mempunyai anak-anak kecil tetapi terpaksa menjalankan kerja dan tugas penting.

5. Kita berdoa agar Malaysia dapat mengatasi waktu yang sukar ini dengan semangat persaudaraan dan sifat tolong menolong yang tinggi. Hargai kesihatan dan nyawa orang lain seperti kita menghargai kesihatan dan nyawa kita sendiri.

Dato Dr Suhaini Kadiman
Presiden

Pertubuhan Amal Perubatan Ibnu Sina Malaysia
(PAPISMA)

#papisma
#covid19
#kkm