Posts

Berlegar dikalangan masyarakat, jika bayi kecil yang mengalami penyakit kuning, perlu dijemur di bawah terik matahari. Adakah betul?

Sebelum menjawab, anda terlebih dahulu perlu mengetahui apakah jaundis neonatal?

Jaundis neonatal terjadi bila ada kekuningan pada kulit akibat pemendapan bilirubin dalam darah di kalangan bayi. Majoriti kes kekunigan adalah proses biasa yang berlaku kepada bayi. Cuma kurang dari 2% adalah akibat penyakit yang serius, seperti Atresia Biliari dan beberapa penyakit genetik yang jarang berlaku.

Walaupun ianya satu proses yang biasa, tetapi menguruskan anak yang dihinggapi jaundis ini perlu perhatian khusus dari ibu-bapa. Menggunakan petua yang tidak terbukti dari segi kajian adalah merugikan diri. Malah jika tidak kena caranya akan menyebabkan penyesalan seumur hidup anak anda.

Apa yang dibimbangi bagi penyakit ini adalah KERNICTERUS?

Kernicterus terjadi bila tahap bilirubin dalam darah tinggi dan mendap dalam sel-sel otak. Ia sangat bahaya terutama bagi bayi pramatang (tak cukup bulan ). Ini kerana mendapan ini boleh merosakkan otak dan menyebabkan kecacatan kekal seperti lumpuh, sawan dan tidak dapat bercakap bila besar nanti.

Apakah penyebab jaundis neonatal?

Jaundis boleh terjadi akibat proses fisiologi normal: iaitu bila bayi baru lahir masih todak mampu untuk mengkumuhkan lebihan bilrubin keluar daripada badan mereka.

Ia juga boleh terjadi akibat proses patologi (penyakit) dan akibat lain seperti

  1. Faktor umum:
    • Bayi premature
    • Kurang air
    • Darah yang terminum oleh bayi semasa proses kelahiran
    • Pemberian susu ibu : meningkatkan risiko jaundis
  2. Pemecahan darah :
    • Kumpulan darah tidak sama antara ibu dan bayi : ABo atau Rhesus incompatibility
  3. Jangkitan kuman (sepsis):
    • Jangkitan otak
    • Jangkitan salur kencing
    • Jangkitan dalam kandungan : kuman herpes, Cytomegalo Virus
  4. Kesan metabolik :
    • Kurang hormon tiroid
    • Galaktosemia
  5. Sumbatan pada aliran bilirubin:
    • Penyempitan salur biliari
    • biliari atresia
  6. Jangkitan neonatal hepatitis

APAKAH PENGURUSAN KES JAUNDIS NEONATAL?

Keterukan jaundis neonatal boleh diperiksa dengan ujian darah venous dan kapilari. Pemeriksaan lebih menyeluruh oleh doktor mengambil kira umur bayi:

  • lebih bahaya jika bayi umur <24jam
  • Keadaan umum bayi
  • Penyebab jaundis
  • Tahap jaundis @ bilirubin dalam darah

APAKAH RAWATAN yang biasa?

Biasanya rawatan terbahagi pada 2 :

1) Fototerapi

Cahaya spektrum biru lampu khas dapat mengurangkan paras bilirubin. Biasanya dimulakan bila bilirubin mencapai jumlah 222microm/l. Ia akan diteruskan sehingga paras bilirubin menurun ketahap lebih rendah. Oleh itu darah akan sentiasa diambil bagi mengkaji keberkesanan fototerapi ini.

2) Exchange Transfusion (ET)

Adalah prosedur bila darah bayi secara berulang-ulang dalam kuantiti yang kecil dikeluarkan dan pada masa yang sama diganti dengan darah penderma.Dengan adanya fototerapi , ET telah kurang diperlukan namum jika bilirubin melebihi 345 microm/l, ia mungkin akan dilakukan.

Justeru menjemur bawah terik matahari bayi anda adalah tidak termasuk dalam rawatan standard yang dilakukan di hospital. Malah kekadang akitiviti menjemur itu mendatangkan bahaya kepada anak anda yang masih kecil. Boleh berlaku dehidrasi atau kekurangan air yang banyak semasa proses menjemur. Anak anda bukannya kain basah, boleh wewenang dijemur panas teriknya mentari.

Dr Suhazeli Abdullah

Pakar Perubatan Keluarga