ORANG ASING NIKAH WARGA TEMPATAN

Ditulis oleh :Mejar (Dr) Khairul Afnan bin Khalid (Bersara)

Ramai marah-marah apabila warga asing dikatakan ambil kesempatan bernikah warga tempatan. Marah orang luar merasai keberkatan Tanah Melayu ini. Ia difahami kerana hasil-masulnya pun kita saling rebut-rebutkan, ini pula ada yang datang meratah sama.

 

Seorang kenalan bercerita. Abangnya suatu hari suka dan bangga, anak perempuannya bakal bernikah dengan orang arab. Dipendekkan, bernikahlah mereka. Sukanya tidak bertahan lama, apabila didapati menantunya tidak solat dan kemungkinan beraliran syiah. Lalu jadilah duka.

 

Dalam kisah yang lain, terutama di era susah mencari pekerja dewasa ini, ramai majikan Melayu yang terpaksa mengambil pekerja warga asing, kerana warga tempatan biasanya tidak bekerja lama dan tidak berminat dalam kerja-kerja yang berat. Warga asing itu, datang dengan niat mencari kerja dan wang bahkan itulah focus mereka. Sudah di sini, terpikat pula si dara.

 

Kedatangan Islam ke tanah melayu juga perlu diimbau. Golongan Syed, Sharifah, Wan dan Nik dikatakan membuktikan bagaimana dakwah dari orang asing mengubah kita. Juga bagaimana nama seorang china dari 3 perkataan, akan ditambah nama ala-ala orang putih seperti Jessica, Jeremy dan lain-lain apabila mereka dibaptis dalam agama Kristian.

Gambar Sekadar Hiasan

Kita juga tahu bagaimana Malaysia hari ini sudah mempunyai warganegara yang tidak pun pandai bertutur bahasa Melayu. 300,000 pelancong hilang, masuknya ada, tetapi tidak keluar dari Malaysia. Kerajaan hari ini pula telah meluluskan dan memudahkan akan memberi kewarganegaraan kepada anak yang lahir dari luar negara, tetapi ibunya warga Malaysia. Begitu juga Sarawak sudah mengubah tafsir bumiputera kepada tafsiran yang lebih longgar.

 

Sehari dua ini lahir hero membasmi warga asing. Tahniah diucapkan. Harap dipanjangkan juga usaha itu kepada pendatang asing yang lebih hebat sehingga mampu memiliki I.C dalam negara ini secara haram.

 

Saya juga memerhatikan, jika seorang warga cina bernikah dengan warga India, anaknya akan nampak macam orang Melayu. DNA Melayu yang kedua tertua didunia, juga jauh sudah bercampur dengan seluruh pelusuk dunia. Ini cerita kahwin nikah mati beranak 2 juta tahun.

 

Saya tidak pastilah kita marah kepada apa sebenarnya. Dahulu nusantara dan kesultanan Islam yang besar dan gah bernaung dibawah Turki Uthmaniah, habis dipecahkan dengan sempadan dan passport…apakah kerana itu?

 

Kita marah kerana warga asing buat onar dikawasan perumahan kita? Warga kita pun sama nakalnya.

 

Kita marah kerana warga asing bernikah dan berniaga? Nikah dan niaga itu bukanlah dosa. Wanita melayu itu dapat suami yang kuat bekerja dan lelaki itu membahagiakannya…derita pun ada dari masa ke masa.

 

Atau kita marah sebab kegagalan kita sendiri? Adakah yang mahu mengakui? Kita marah warga asing ada, rupanya rakan melayu kita yang ambil rasuah buka pintu sebesarnya.

 

Apa yang sebenarnya yang saya cuba disampaikan?

 

Sebenarnya, percampuran nikah dan asimilasi masyarakat telah lama berlaku, sedang berlaku dan akan terus berlaku.

 

Ada asimilasi yang berlaku kerana keperluan hidup, yang secara fitrahnya adalah kerana mencari sesuap nasi. Majikan yang hendak terus membuma pintu kedainya dan kilangnya.

 

Ada similasi yang berlaku kerana dakwah dan dakyah. Dakwah banyak berlaku di semenanjung, sedangkan dakyah kuat di pedalaman Sabah dan Sarawak dan dikatakan borneo aman.

 

Ada asimilasi yang diatur untuk merubah kuasa politik. Penempatan melayu ditambak dan dijadikan kawasan komersil dan mahal seperti yang lulus untuk selatan Pulau Pinang. Skim rumah pertamaku untuk membolehkan orang yang kurang kemampuan membeli rumah dibandar-bandar. Merubah peratusan penduduk. Memberi kad pengenalan dengan mudah.

 

Ada asimilasi paksa. Lihat bagaimana Indonesia hanya mempunyai sekolah 1 aliran, orang cina sana bernama ala-ala Indonesia dan bercakap Indonesia lancar. Lihat bagaimana warga Islam uighur habis dipaksa kahwin dengan agama lain di China.

 

Asimilasi ini senantiasa berlaku. Samada kita bersahabat dengannya dan ia menjadi kekuatan kita. Atau kita memusuhinya, kemudian tidak perasan ada orang lain menjadikannya senjata.

 

Akhir kalam, saya cuma mencadangkan 2 perkara.

 

1. Pendidikan di Malaysia, kekal dalam bahasa Melayu dan Inggeris. Ditambah wajib opsyen bahasa Cina atau India. Ini baik untuk perdagangan dan perpaduan. Nabi juga berpesan agar kita belajar bahasa kaum lain.

 

2. Buat program pertukaran i.c baharu. Pulangkan i.c yang dipegang dan ditukar kepada yang ada rupa rekaan baharu. Kita akan dapat membersihkan i.c palsu dan pemegang i.c haram.

 

Biasanya apabila saya tulis topik ini, akan ada yang kata, nanti anak nikah warga asing, baru padan muka. Saya jawab, nikah kahwin itu takdir dariNya.