eBENCANA dan MASA DEPAN KITA MENGHADAPI BENCANA
oleh: Mejar (Dr) Khairul Afnan Bin Khalid – Bersara, ahli pakar rujuk pembangunan sistem EBencana.
Kita dikejutkan lagi dengan amaran Malaysia sendiri boleh mengalami gempa bumi sehingga mencapai 6 sekala Richter. Ini bermaksud bahawa jika berlaku gempa di satu-satu pusat, kerosakan yang signifikan dan jelas akan berlaku dikawasan tersebut. Benar atau tidak, kita pernah merasa saki baki gegaran dari Acheh pada 2004, dan yang lebih penting kita membuat persiapan.
Tidak cukup dengan amaran itu, beberapa negeri di pantai timur semenanjung turut sedang mengalami cuaca panas luar biasa sehingga bulan Ogos nanti. Sehingga artikel ini ditulis, sudah 2 kematian kanak-kanak dikaitkan dengan kejadian cuaca panas atau disebut sebagai Stroke Haba.
Secara peribadi dari pengalaman, jika kemaraunya ekstrem, musim tengkujuhnya juga berkemungkinan ekstrem. Pada Disember 2022, apabila hujan terlalu lebat di Kota Bharu, Kelantan sehingga menyebabkan banjir kilat, walaupun dikawasan-kawasan beraliran air longkang yang baik.
Trend cuaca ekstrem dan “Hujan Curah” berlaku hampir dikesemua negeri sebagai kesan dari pemanasan bumi, pencairan ais kutub-kutub, dan peningkatan aras air laut.
Ketika apa jua bencana yang berlaku, keperluan manusia tetap sama. Air, makanan, pakaian, kebersihan, kesihatan dan pengangkutan. Keperluannya tetap sama menjadikan keperluan asas manusia dalam bencana tetap serupa.
Perbezaan yang berlaku adalah kepakaran mengawal risiko bencana diperingkat akut atau kecemasan. Tanah runtuh memerlukan Jabatan kerja raya, bomba dan smart. COVID 19 memerlukan KKM dihadapan. Peperangan memerlukan Angkatan Tentera Malaysia maju bersenjata. Bencana maritim memerlukan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia bergerak tangkas. Manakala Polis DiRaja Malaysia, kekal menjadi ketua menyelaras di Pusat Kawalan Tempat Kejadian selain memantau keamanan masyarakat awam terkesan.
Menyedari hal-hal berkenaan, sejak 8 tahun lepas telah diusahakan Sistem Pengurusan Bencana Negeri Kelantan atau kependekannya adalah EBencana, yang dilancarkan pada 7 Febuari 2023 lepas. Sistem ini dibangunkan dengan memanggil semua pemegang taruh bencana dari sebawahnya iaitu para penghulu, penggawa, pihak berkuasa tempatan, agensi-agensi pusat dan negeri bagi memastikan kesemua keperluan diambil kira.
Ia membolehkan mengsa memaklumkan kejadian, kejadian dan info disahkan (supaya tidak berlaku penipuan), pendaftaran mangsa dan akaun dipercepatkan, keperluan kelompok mangsa dijana dengan teratur dan arahan pengagihan bantuan disampaikan dengan cepat dan tepat dengan bantuan GPS.
Sistem ini sudah bermula, dan rakyat dinegeri Kelantan sudah boleh mula mendaftarkan diri dan NGO masing-masing dalam sistem berkenaan. Data awalan yang dimasukkan akan membolehkan bantuan dan pemantau dipercepatkan apabila bencana sebenar berlaku kelak.
-Masa Hadapan eBencana-
Namun, sistem ini baru sebahagian dari Ekosistem Pengurusan Bencana. Ruang menjadikannya sistem yang lestari dan mampan masih terbuka luas.
Lawatan kami ke pihak Agensi Pengurusan Bencana Negara telah mendapat terdapat keperlu bagi mempercepatkan pembayaran kepada mangsa bencana. Sistem EBencana yang dibangunkan telah dilengkapi dengan sistem pemakluman akaun bayaran mangsa dengan pengesahan status mangsa oleh para penghulu dan penggawa secara online. Ini diharapkan dapat mempercepatkan pembayaran dan mengelakkan penipuan serta keciciran.
Antara kerisauan yang biasanya dimaklumkan kepada kami adalah terputusnya sistem internet ketika bencana. Sebenarnya penyelesaiannya sudahpun ada. Untuk pengetahuan pembaca, banyak pihak tidak dimaklumkan bahawa, agensi-agensi kerajaan ada yang mempunyai sistem internet mobil (mudah alih) yang boleh berhubung terus kepada satelit tanpa melalui pencawang syarikat telekomunikasi yang tiada bekalan elektrik. Agensi seperti Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia dan Angkatan Tentera Malaysia mempunyai aset-aset ini.
Saya sarankan untuk setiap PBT dan Jabatan mempunyai aset perhubungan satelit masing-masing memandangkan risiko bencana yang pelbagai semakin meningkat dewasa ini.
Hasil dari data dijana dari sistem EBencana ini juga akan mewujudkan big data analytics dan Kepintaran Buatan (AI) akan dapat memaklumkan kita, keadaan bencana yang bagaimana akan mengesankan berapa ramai mangsa pada satu-satu masa dan tempat. AI berkait bencana ini, dengan kepimpinan dan pengetahuan para profesional kita, akan boleh memaklumkan bakal mangsa akan risiko ditempat mereka melalui apa juga kaedah perhubungan yang bersesuaian. Kita sepatutnya hanya memerlukan 2-3 tahun lagi untuk menghasilkan AI ini jika ada “political will” yang sepatutnya dan berani mencuba dan keluar dari zon selesa.
Sistem eBencana ini apabila matang kelak, saya berkeyakinan akan mampu, dipakejkan, dan mendatangkan hasil kepada kerajaan apabila kita menjadi dengan negara yang mampu menyelamatkan negara-negara lain hasil rekaan sistem yang kita buat bermula di negeri Kelantan ini. Kita akan lahirkan sebuah Unicorn insyallah.