PROGRAM KESIHATAN REMAJA SEJAHTERA merupakan program pendidikan seksualiti remaja anjuran Unit Kesihatan Kampus Kejuruteraan USM Transkerian, Nibong Tebal Pulau Pinang dengan kolabrasi antara PAPISMA, Pejabat Kesihatan Daerah Kerian, Pejabat Pendidikan Daerah Kerian dan Persatuan Mahasiswa Islam (PMI) Kampus Kejuruteraan USM Transkerian. 

Program ini melibatkan 21 buah sekolah menengah di seluruh daerah Kerian. Dalam program ini seramai 2000 pelajar telah menjalani saringan kesihatan dan seramai 150orang terpilih untuk menyertai program pada hari ini.

Sebanyak 2 topik ceramah daripada silibus MAGIC PAPISMA (silibus pendidikan kesihatan seksualiti remaja) telah dibentangkan dan diikuti dengan sesi latihan dalam kumpulan pada sesi seterusnya. Topik ceramah disampaikan oleh Dr Hani ‘Izzati Yaakub, Ketua Jabatan Remaja dan Kanak-Kanak WARAK PAPISMA Malaysia dan Dr Idyawati Pakar Psikiatri merangkap penasihat PAPISMA KEDAH. 

Seramai 22 orang fasilitator daripada PAPISMA PERAK, KEDAH dan PENANG terlibat dalam program pada kali ini.

Syabas pihak Universiti Sains Malaysia kerana turut optimis dalam penganjuran program pendidikan seksualiti remaja untuk masyarakat setempat.

Semoga pelbagai kerjasama antara PAPISMA dan USM serta Kementerian Pengajian Tinggi umumnya dapat dijalankan lagi bagi program-program lain pada masa akan datang.

 

Pada 28 September hingga 1 Oktober , WARAK PAPISMA telah sama-sama menyertai program Kem Ibadah Nusantara yang diadakan di Agroteknologi MARDI, Cameron Highland. Program ini yang dianjurkan bersama oleh Persatuan Insaf Pahang, Persatuan Pelajar Perubatan UIA dan Bahagian Keluarga, Sosial dan Komuniti, JAKIM adalah untuk menyantuni komuniti LGBTQ yang telah dan dalam proses penghijrahan kembali semula kepada fitrah. Program juga adalah hasil kerjasama beberapa agensi, IPT dan NGO termasuk PAPISMA. Program telah dirasmikan oleh YBRs Tuan Haji Ruslan Bin Said, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) mewakili Datuk Pengarah JAKIIM.

 

Seramai 123 peserta dari seluruh Malaysia telah menyertai program ini termasuk beberapa peserta yang berasal dari Indonesia. Menurut Prof. Dr. Shamsul Bin Deraman, Timbalan Pengarah Kampus UIA Kuantan, masih ramai lagi yang berhasrat untuk menyertai program ini, namun terpaksa ditolak kerana tempat yang terhad dan bajet yang tidak mencukupi.

 

Pelbagai aktiviti menarik telah diadakan seperti explorasi, senamrobik dan LDK selain ceramah kesihatan dan kerohanian. Walaupun bukan semua yang hadir berhasrat untuk berubah pada mulanya, namun hasil latihan kerohanian dan perdampingan dengan al-quran telah berjaya mengetuk hati nurani mereka untuk berubah ke arah kebaikan. Malah ada di antara mereka menjadi pemangkin untuk rakan-rakan lain bertaubat dan meninggalkan perbuatan terlaraIng.

 

 

Peserta juga dilihat mempunyai pengetahuan yang baik tentang kesihatan dan penyakit berkaitan seperti HIV dan STD. Mereka juga sangat aktif bertanya soalan dalam setiap ceramah yang diadakan serta memberikan kerjasama yang baik untuk semua aktiviti. Mereka juga mengikuti aktiviti kerohanian seperti solat berjemaah dengan patuh.

‘Setiap manusia ada tabung dosa dan pahala masing-masing termasuklah para AJK.‘

 

Antara kata-kata yang disampaikan oleh MC program yang memberi kesan yang sangat mendalam.

Wakil PAPISMA yang diketuai oleh EXCO WARAK, Dr Radhiatul Akmal juga telah berkesempatan mengedarkan borang soal selidik kepada semua peserta sebagai persediaan awal pelan tindakan Get To Zero. Selain itu beberapa siri temuramah kepada peserta telah diadakan secara rawak untuk meninjau tujuan kehadiran, kefahaman dan harapan peserta. Beliau telah dibantu oleh wakil PAPISMA dari Selangor, Kelantan, Terengganu, Pulau Penang dan Perak.

Semoga PAPISMA sebagai salah sebuah NGO perubatan dan kesihatan dapat turut mengadakan program seperti ini di setiap negeri dengan memberikan impak yang lebih baik. Ini adalah bagi memenuhi tanggungjawab pendidikan dan pemulihan kepada golongan ini. Semoga lebih ramai lagi komuniti seperti ini dapat dibimbing, dipulihkan dan istiqamah dalam menunaikan syariat Allah.