اللهُ أكبر اللهُ أكبر اللهُ أكبر
ولله الحَمْد
Setinggi-tinggi kesyukuran kehadrat Allah Swt di atas rezeki sebulan Ramadhan yang telah dikurniakanNya kepada kita semua.
Di dalam sebuah kisah mimpi sahabat Nabi, Talhah bin Ubaidillah melihat dua orang bersaudara yang memeluk Islam pada hari yang sama dan keduanya telah meninggal dunia sedang berada di hadapan pintu syurga. Saudara yang pertama begitu bersungguh-sungguh mengamalkan perintah Allah, beliau berjihad dan mati syahid dijalan Allah. Ada pun saudara yang kedua meneruskan kehidupan seperti biasa dan sempat hidup setahun lagi sebelum meninggal dunia, beliau meninggal ditempat tidur.
Talhah mendapati malaikat telah memanggil masuk ke syurga terlebih dahulu saudara yang tidak mati syahid & meninggal dunia setahun lewat daripada saudara yang mati syahid.
Talhah kehairanan, lalu kisah mimpi ini sampai kepada Nabi Muhammad SAW. Lalu baginda menyebut bahawa ianya tidak pelik kerana saudara yang meninggal lewat setahun itu telah sempat melalui sebulan Ramadhan dan ia benar-benar telah mengambil faedah daripada Ramadhan yang dilaluinya. Bezanya dengan saudara yang mati syahid itu ibarat langit & bumi.
_(Kisah drp hadis yang dikeluarkan oleh Ibn Majah 3925, Ibn Hibban 2466, al-Baihaqi di dalam al-Zuhd 2/73, Ahmad 1/161-163, Ibn Khuzaimah di dalam Sahihnya 310, al-Hakim 1/200 dan hadis ini dinilai Sahih oleh al-Albani)_
Sahabat-sahabiah sekalian,
Demikianlah kelebihan Ramadhan, dan difardhukan puasa Ramadhan kepada umat Islam agar kita beroleh ketaqwaan.
Setelah melalui sebulan Ramadhan, mudah- mudahan hari raya Aidil Fitri ini kita sambut dengan penuh semangat taqwa kerana taqwa itulah yang kita disuruh mengusahakannya sepanjang Ramadhan.
Ramadhan kali ini juga menyaksikan berlakunya peperangan sengit diantara sebahagian umat Islam melawan tentera penjajah. Marilah kita mendoakan agar umat Islam diberi oleh Allah kekuatan jiwa, kesabaran, ketabahan & kemenangan mempertahankan iman & Islam.
Akhir sekali, sepanjang musafir kita pada sambutan Aidil Fitri ini, marilah kita berusaha memastikan agar rumah yang kita tinggalkan berada dalam keadaan selamat dan perjalanan kenderaan kita juga dilakukan dengan berhemah dan selamat insyaAllah.
تَقَبَّلَ اللهُ مِنَّا وَمِنكُم.
Semoga Allah menerima amal saya & amal saudara sekalian.
... See MoreSee Less