spot_imgspot_img

Strok Haba Boleh Membawa Maut

Strok haba merupakan suatu penyakit yang serius

đź“‘Pengenalan dan epidemiologi

Jabatan Meteorologi Malaysia telah melaporkan bahawa gelombang panas dan kering sedang melanda negara akibat peralihan monsun dan keadaan ini dijangka berterusan sehingga bulan Julai 2023. Situasi ini juga melanda negara-negara lain termasuk Thailand,

Strok haba merupakan suatu penyakit yang serius akibat pendedahan kepada keadaan sekeliling yang panas melampau sehingga menyebabkan badan tidak mampu menstabilkan suhu badan.

Strok haba berlaku apabila suhu badan meningkat dengan cepat melebihi 40°C atau lebih. Kejadian strok haba boleh berlaku secara tiba-tiba atau berperingkat.

Strok haba boleh menyebabkan kegagalan saraf dan organ, seterusnya mengancam nyawa akibat keadaan hipertemia teruk.

Kadar kejadian stroke haba adalah berbeza bergantung kepada faktor geografi, cuaca dan aktiviti penduduk setempat. Risiko strok haba adalah tinggi apabila berada dalam keadaan suhu sekeliling melebihi 39.2°C.

Berasarkan laporan WHO (2023), fenomena gelombang haba berterusan di Eropah pada pertengahan tahun 2022 telah menyebabkan lebih 20,000 kematian akibat strok haba. Pada tahun 2006 hingga 2010 dilaporkan dalam satu jurnal perubatan (2016) iaitu terdapat 3332 kematian di sebabkan strok haba di Amerika. Di Malaysia pula, 200 kes penyakit berkaitan cuaca panas telah dilaporkan pada tahun 2016. 52 kes adalah kejang panas (heat cramps iaitu hipertermia dan kejang otot), 126 kes adaah letih panas (heat exhaustion iaitu kelesuan dan pitam), dan 22 kes adalah strok haba (kulit kemerahan dan kering, loya, muntah dan koma), yang mana ianya termasuk 2 kematian disebabkan strok haba. Untuk tahun semasa, berdasarkan kenyataan Kementerian Kesihatan Malaysia pada 28 April 2023, terdapat 5 kes berkaitan cuaca panas iaitu 3 kes berlaku di Sarawak yang melibatkan kekejangan haba (2 kes) dan kelesuan haba (1 kes), dan 2 kes di Kelantan iaitu kelesuan haba (1 kes) dan kematian (1 kes). Oleh itu, tindakan aktif hendaklah diambil bagi mengelak kejadian penyakit berkaitan haba seperti strok haba.

Perhatikan tanda-tanda ini

đź“‘Tanda dan gejala

a.Denyutan jantung menjadi cepat

b Pernafasan laju dan pendek

c.Badan terasa panas dan kering

d.Sakit kepala, pening dan kepala rasa berpusing

e.Rasa mual

f.Tidak selesa dan keliru

g.Peningkatan suhu badan secara mendadak sehingga 40°C atau lebih

h.Tekanan darah menurun

i.Tidak sedarkan diri, pengsan atau sawan

Golongan yang berisiko tinggi

đź“‘Komplikasi strok haba dan golongan berisiko tinggi

Kejadian strok haba terjadi apabila badan terdedah kepada keadaan sekeliling yang panas melampau sehingga menyebabkan badan dehidrasi dan kegagalan menstabilkan suhu badan.

Individu yang melakukan aktiviti/bekerja/bertugas dengan keadaan sekeliling yang panas dikenalpasti berisiko tinggi mendapat strok haba seperti pekerja pembinaan, petani, pengawal keselamatan, polis, tentera, bomba, pengendali jentera berhaba, atlit dan aktiviti-aktiviti luar lain di bawah sinaran matahari terik.

Selain itu, beberapa golongan rentan dikenalpasti meningkatkan lagi risiko mendapat strok haba seperti warga emas, kanak-kanak dan individu dengan penyakit kronik.

Strok haba tidak boleh dipandang ringan kerana ia boleh mendatangkan komplikasi serius. Berdasarkan satu artikel yang ditulis oleh Bouchama et al (20222), kesan jangka pendek akibat dari pendedahan mengejut kepada cuaca yang panas boleh mengakibatkan sel-sel badan cedera, keradangan, darah senang beku dan berlaku pendarahan di beberapa organ penting. Manakala mangsa strok haba boleh mengalami kesan jangka panjang seperti masalah saraf, sistem kardiovaskular, dan risiko kematian. Berdasarkan satu kajian dari Jepun yang diterbitkan pada tahun 2020, kadar kematian akibat dari pendedahan kepada suhu panas adalah 4.6%, di mana kebanyakannya melibatkan mangsa yang berumur antara 49-82 tahun. Kajian tersebut juga melaporkan 16.6% pesakit mengalami masalah saraf (poor neurological outcome).

Pencegahannya

đź“‘Pencegahan

a.Elakkan melakukan aktiviti di bawah sinaran matahari terik atau dalam keadaan yang panas untuk tempoh yang panjang.

b.Elakkan melakukan aktiviti fizikal dalam keadaan letih, lapar atau dahaga yang keterlaluan.

c.Pastikan diri terhidrat dengan minum air kosong 3 hingga 4 liter sehari.

d.Amalkan pemakanan sihat dan seimbang.

e Memakai pakaian yang longgar dan ringan serta pelindung haba seperti topi atau payung

f Tidak meninggalkan sesiapa di dalam kenderaan yang parkir di bawah matahari terik.

g.Pastikan pengudaraan yang cukup atau pendingin hawa jika berada dalam rumah atau premis.

Rawat sebelum terlambat

đź“‘Rawatan

Rawatan di tempat kejadian :

a.Alihkan mangsa dari sinaran matahari yang melampau ke tempat berbumbung atau mempunyai hawa dingin.

b.Sejukkan mangsa dengan kain yang lembap atau siram dengan air sejuk.

c.Berikan udara segar, halakan kipas secara terus atau kipas mangsa menggunakan kertas surat khabar.

d.Sekiranya mangsa sedar, berikan minuman sejuk dan segar.

e.Dapatkan bantuan kecemasan melalui talian 999 dengan segera.

Nasihat kepada orang awam

đź“‘Nasihat kepada orang awam

a.Mendapatkan rawatan segera jika mempunyai tanda-tanda awal penyakit berkaitan haba.

b.Sentiasa mendapatkan maklumat cuaca terkini daripada pihak MetMalaysia dan amaran kesihatan berkaitan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia.

c.Melakukan senaman dan aktiviti-aktiviti luar dengan mengelak ketika cuaca panas terik.

 

Rujukan:

Bouchama, A., Abuyassin, B., Lehe, C., Laitano, O., Jay, O., O’Connor, F. G., & Leon, L. R. (2022). Classic and exertional heatstroke. Nature Reviews Disease Primers, 8(1), 8.

MKN. (2023). Tips Menghadapi Cuaca Panas. Majlis Keselamatan Negara. Retrieved April 26, 2022, from https://www.mkn.gov.my/web/ms/2023/04/16/amalkan-tips-sihat-dalam-menghadapi-cuaca-yang-panas-elak-dari-terkena-strok-haba/

MyHealth. (2019). Strok Haba (Heat Stroke). Kementerian Kesihatan Malaysia. Retrieved April 25, 2023, from http://www.myhealth.gov.my/strok-haba-heat-stroke/

 

Suparta, W., & Yatim, A. N. M. (2017). An analysis of heat wave trends using heat index in East Malaysia. Journal of Physics: Conference Series, 852, 12-15. doi:10.1088/1742-6596/852/1/012005

 

WHO. (2023). Statement – Climate Change Is Already Killing Us, But Strong Action Now Can Prevent More Deaths. World Health Organization. Retrieved April 25, 2023, from https://www.who.int/europe/news/item/07-11-2022-statement—climate-change-is-already-killing-us–but-strong-action-now-can-prevent-more-deaths

 

Oleh : Prof Madya Dr Nik Rosmawati Nik Husain (MD, MMed (Public Health), PhD)

 

#PAPISMA

#strokhaba

Get in Touch

spot_imgspot_img

Artiekl Berkaitan

spot_img

Madia Sosial

16,945FansLike
0FollowersFollow
0SubscribersSubscribe

Artikel Terkini

%d bloggers like this: