KOTA KINABALU – Papisma (Pertubuhan Amal Perubatan Ibnu Sina Malaysia) mencatat kejayaan gemilang dalam Program Khatan Nusantara edisi 2025 setelah berjaya mengkhatankan 457 kanak-kanak lelaki di sembilan lokasi sekitar Sabah dari 25 hingga 27 Januari 2024. Program selama tiga hari ini disokong lebih 20 pengkhatan berpengalaman, komuniti setempat, serta jaringan penaja korporat dan agensi kerajaan, sekaligus mengukuhkannya sebagai inisiatif khitanan kolektif terbesar di Malaysia Timur tahun ini.
Lokasi pelaksanaan meliputi kawasan pedalaman dan pinggir bandar seperti Kampung Gentisan (60 peserta), Kampung Sg Obar (65 peserta), Tjg Batu Laut (32 peserta), Kinabatangan (45 peserta), Tjg Batu Darat (49 peserta), Tjg Keramat (60 peserta), Papar (46 peserta), Batu Putih (57 peserta), dan Balung (64 peserta). Setiap sesi dilaksanakan mengikut garis panduan syariat Islam dan protokol kesihatan ketat, dipantau langsung oleh pasukan perubatan Papisma.
Sokongan Tajaan & Kerjasama Strategik
Program ini mendapat suntikan dana dan sokongan logistik daripada penaja utama seperti Pusat Zakat Sabah, Affin Bank, dan Alumni Program Khas Pelajar MRSM Kulim 88/89. Turut menyumbang ialah masyarakat tempatan seperti Jawatankuasa- jawatan kuasa masjid (tempat dan peralatan) dan Ngo Sabah Care (bantuan teknikal).
Sejak Dilancarkan pada 2013, Program Khatan Nusantara Papisma telah melaksanakan khitanan kolektif di pelbagai negeri. Jumlah kumulatif peserta khatansejak 2013 dianggar telah melebihi 5000 orang kanak-kanak. Program berterusan serta jumlah yang besar ini membuktikan komitmen berterusan pertubuhan ini dalam menyantuni komuniti.
Fokus Bantu Kelompok Rentan
Koordinator program, Dr. Awisul Islah Ghazali, menegaskan bahawa misi ini bertujuan meringankan beban kewangan keluarga kurang berkemampuan serta meningkatkan kesedaran tentang kepentingan berkhatan dalam Islam. “Kami memberi tumpuan kepada daerah yang mempunyai akses terhad terhadap perkhidmatan kesihatan. Alhamdulillah, dengan kerjasama penaja dan sukarelawan, kami berjaya menjayakan program ini secara holistik,” ujarnya.
Rancangan Masa Depan
Papisma berhasrat untuk melatih & melahirkan lebih ramai tenaga kesihatan yang mampu menjadi mudim yang kompeten dan selamat pada masa depan. “Kami juga sedang merancang program kesinambungan seperti pendidikan kesihatan reproduktif untuk remaja. In sha Allah, usaha ini akan memberi impak jangka panjang,” tambah Dr. Awisul Islah Ghazali.
Dengan sokongan padu pihak berkepentingan, Papisma terus memainkan peranan sebagai peneraju khidmat kesihatan Islam yang inklusif, menggabungkan nilai murni agama dan kepakaran perubatan moden.