KENYATAAN AKHBAR PAPISMA
WBB: Antara “Work-Life Balance”, dan Penjimatan Elaun On Call
Pasca pandemik COVID-19, kita sepatutnya lebih menghargai bagaimana kesihatan boleh berubah menjadi bencana yang menjejaskan kehidupan, ekonomi, dan kestabilan negara. Sistem penjagaan kesihatan yang cekap bukan sahaja memastikan keselamatan rakyat tetapi juga menjadi benteng utama negara menghadapi cabaran global. Dalam keadaan ini, memahami beban yang ditanggung oleh petugas kesihatan adalah kunci kepada pembaharuan sektor ini.
Sejak pandemik, ramai petugas kesihatan menghadapi tekanan ekonomi yang semakin meningkat. Terdapat doktor yang terpaksa bekerja di dua hingga tiga tempat untuk menampung keperluan hidup, walaupun dikatakan kerja “senang”. Ini mencerminkan bagaimana ekonomi petugas kesihatan turut terkesan dan memerlukan perhatian segera daripada pihak berwajib. Petugas Kesihatan dilaporkan “overworked & underpaid” (terbeban dan tidak dibayar setimpal) oleh News Straits Times (https://www.nst.com.my/news/nation/2023/02/879632/docs-public-healthcare-are-overworked-underpaid).
Setelah meneliti pelbagai kenyataan dan sesi town hall, kami dapat memahami tujuan utama pelaksanaan Sistem Waktu Bekerja Berlainan (WBB), iaitu untuk memberikan “work-life balance” kepada doktor dan mengurangkan kos elaun on-call untuk kerajaan. Namun, apakah ini akan tercapai kerana pelaksanaan ini bakal menimbulkan beberapa isu besar, termasuk:
Beban Kerja di Jabatan dengan Kekurangan Staf
Jabatan yang kekurangan staf akan berdepan beban kerja bertambah akibat pengurangan kakitangan dalam setiap syif. Waktu bertugas mungkin lebih pendek, tetapi kekerapan bertugas meningkat, menjejaskan kualiti perkhidmatan dan keselamatan pesakit.
Pengurangan Pendapatan Petugas Kesihatan
Pelaksanaan WBB dijangka akan mengurangkan pendapatan petugas yang akibat tekanan ekonomi terpaksa bergantung kepada elaun on-call bagi menghadapi situasi tersebut. Ini berkemungkinan memberi impak besar terhadap kesejahteraan mereka.
Keselamatan Pesakit
Kekurangan tenaga kerja dan keletihan akibat beban kerja tinggi meningkatkan risiko kesilapan perubatan, yang akhirnya menjejaskan keselamatan pesakit.
Izinkan PAPISMA mencadangkan langkah menambah pendapatan KKM dan mempertimbangkan kesejahteraan petugas:
Peningkatan 1% Peruntukan GDP kepada Sektor Kesihatan
Malaysia memperuntukkan hanya 4.38% daripada GDP untuk sektor kesihatan, jauh lebih rendah berbanding Singapura (5.57%), Thailand (5.16%), dan Myanmar (5.63%). Peningkatan sebanyak 1% daripada GDP mampu membawa perubahan besar, termasuk penambahan tenaga kerja dan kebajikan petugas kesihatan.
*Takaful Kesihatan Mampu Milik dan Sukarela
Memperkenalkan takaful kesihatan mampu milik dapat mengurangkan beban KKM, terutama untuk rawatan pembedahan dan keperluan alat perubatan.
Kajian Semula Model WBB
Pelaksanaan WBB perlu melalui kajian terperinci dengan melibatkan semua pihak berkepentingan, terutama petugas klinikal, untuk memastikan model ini sesuai dengan realiti kekurangan tenaga kerja.
Elaun On-Call yang Adil
Elaun on-call perlu dinaikkan selaras dengan beban kerja sebenar untuk memastikan keadilan kepada semua petugas kesihatan.
Penyelesaian Kekurangan Staf
Pelaburan dalam pengambilan doktor, jururawat, dan pembantu perubatan perlu ditingkatkan. Penempatan semula petugas bukan klinikal ke jabatan kritikal juga perlu dipertimbangkan.
Fokus kepada Keselamatan dan Kesejahteraan
Kerajaan perlu memberikan perhatian kepada sokongan mental, waktu rehat mencukupi, dan insentif kepada petugas kesihatan di jabatan kritikal.
Petugas kesihatan adalah tulang belakang kepada sistem penjagaan kesihatan negara dan boleh menjadi faktor positif perkembangan ekonomi negara. Kerajaan perlu memastikan WBB dilaksanakan secara teliti agar “work-life balance” tercapai tanpa menjejaskan kesejahteraan petugas dan keselamatan pesakit. PAPISMA menyeru kerajaan agar lebih serius dalam menyelesaikan isu kebajikan dan kekurangan tenaga kerja kesihatan.
“Petugas Kesihatan yang dihargai adalah jaminan untuk rakyat yang sihat dan pemulihan ekonomi negara”
19 Januari 2025
Pertubuhan Amal Perubatan Ibnu Sina Malaysia