*SISTEM KESIHATAN NEGARA: UTAMAKAN KESIHATAN RAKYAT DARIPADA KEUNTUNGAN MELAMPAU*
19 Disember 2024
Sektor kesihatan negara kini berada dalam situasi genting. Sebanyak 30% rawatan kesihatan di Malaysia disediakan oleh sektor swasta, memainkan peranan penting sebagai pelengkap kepada perkhidmatan awam. Tanpa sektor swasta, keseluruhan sistem kesihatan baik awam mahupun swasta berisiko runtuh.
Ketika negara menghadapi pandemik COVID-19, sektor swasta membuktikan komitmen dan jasanya dalam membantu rakyat dan kerajaan. Namun, walaupun sektor ini menghasilkan margin keuntungan yang lebih rendah berbanding industri lain, daya tahannya kini diuji oleh manipulasi dan tekanan daripada pelbagai pihak.
*Manipulasi dalam Sektor Kesihatan*
Beberapa pihak, termasuk syarikat insurans, takaful, dan Third-Party Administrators (TPA), dilihat cuba mempengaruhi harga rawatan dan konsultasi di sektor kesihatan swasta. Pada masa yang sama, usaha oleh industri farmasi untuk meningkatkan aliran pesakit dari klinik swasta ke farmasi melalui pelaksanaan dispensing separation hanya akan menambah beban kepada pesakit.
Saban tahun, umum mengetahui terdapat peningkatan kos dalam pelbagai sektor, tidak terkecuali sektor kesihatan. Inflasi dalam sektor ini menurut Pakar Kesihatan Awam kami adalah 19%. Namun, terdapat syarikat insurans yang mengambil kesempatan menaikkan premium sehingga 70%.
Hasil daripada tekanan ini, kos rawatan dijangka meningkat, dan semakin ramai golongan T20 dan M40 mungkin memilih untuk mendapatkan rawatan di hospital awam. Keadaan ini akan membebankan sektor awam yang sudahpun berada di ambang keruntuhan akibat kekangan sumber dan kepadatan pesakit.
*Cadangan untuk Menyelamatkan Sistem Kesihatan Negara*
Untuk memastikan sektor kesihatan negara kekal stabil dan berdaya tahan, langkah berikut perlu diambil segera:
1. Tindakan Holistik: Pendekatan mempertimbangkan implikasi kewangan yang menyeluruh perlu diambil untuk menangani cabaran ini dengan melibatkan semua pihak berkepentingan.
2. Akta Kawalan Pengaruh Insurans dan TPA: Kerajaan perlu menggubal akta bagi menghalang syarikat insurans, takaful, dan TPA daripada mempengaruhi kos rawatan dan konsultasi.
3. Penangguhan Dispensing Separation: Buat masa ini, pelaksanaan dispensing separation di klinik swasta perlu dielakkan bagi memastikan kelangsungan perkhidmatan perubatan yang berpatutan untuk rakyat.
*Kesejahteraan Rakyat Lebih Penting*
Kami menyeru semua pihak, khususnya pengamal perubatan, untuk melihat isu ini secara menyeluruh dan meletakkan kepentingan kesihatan rakyat di atas keuntungan komersial. Sistem kesihatan negara tidak seharusnya menjadi medan eksploitasi oleh pihak tertentu untuk mencapai keuntungan ratusan juta ringgit, sedangkan rakyat menanggung bebannya.
Kerajaan, doktor, dan semua pihak berkepentingan perlu berganding bahu untuk memastikan sektor kesihatan negara tidak runtuh, tetapi terus menjadi benteng kesejahteraan rakyat Malaysia.
Pertubuhan Amal Perubatan Ibnu Sina Malaysia
... See MoreSee Less