Demi menjaga kualiti dan keselamatan pengurusan pesakit dalam negara, maka Akta perubatan telah pun lama dibentuk dan mengalami beberapa pindaan supaya ianya semakin mantap. Pindaan terbaharu Akta Perubatan 50 (1971) telah diluluskan di parlimen dan Dewan negara 27 Julai 2024 lalu.
Antara elemen penting yang diluluskan dalam pindaan yang terbaharu itu adalah mengenai gelaran dan pengiktirafan kepakaran & subkepakaran di dalam perubatan.
Seksyen 14B dan 14C menyatakan mana-mana orang berhak dan layak untuk didaftarkan sebagai pakar dengan syarat:
1. Dia telah berdaftar sebagai pegawai perubatan berdaftar Majlis Perubatan Malaysia;
2. Mendapat sijil kelulusan yang diiktiraf merujuk kepada jadual ke-4 Akta;
3. Mengikut dan sempurna latihan kepakaran / sub-kepakaran (Silibus dan persijilan yang diiktiraf);
4. Mempunyai pengalaman kerja yang diseliakan;
5. Selepas Majlis Perubatan Malaysia berpuas hati dengan kompetensi dan akhlak pemohon.
Manakala seksyen 14D menyatakan mana-mana pakar (rujuk 14B dan C) boleh diiktiraf dan didaftarkan dalam sub-kepakaran yang merujuk kepada jadual ke-5 serta syarat-syarat yang dinyatakan di atas.
Justeru, tidak boleh secara wawenang seseorang itu mendakwa diri mereka sebagai pakar dalam sesuatu bidang dan menjalankan aktiviti-aktiviti memeriksa, merawat, mendiagnosis dan memberikan ubat, mahu pun memberi pendidikan kesihatan mengikut bidang kepakaran yang mereka dakwa itu kecuali setelah kepakaran ataupun sub-kepakaran itu telah diluluskan melalui proses undang-undang ini.
Akhir-akhir ini semakin ramai yang cuba mengambil peluang dan meraih keuntungan menjual produk-produk kesihatan di atas dasar mereka itu pakar. Sedangkan kepakaran mereka itu tidak terdapat di dalam jadual kepakaran Akta Perubatan dalam negara kita.
Jika mereka mendakwa bahawa kepakaran atau sub-kepakaran yang mereka beramal sekarang itu terdapat bukti kukuh dan berkemampuan untuk dijadikan salah satu dari bidang kepakaran di dalam Akta perubatan, maka Fasal ke-10 Akta Perubatan itu memberi ruang kepada individu atau organisasi untuk mengemukakan permohonan kemasukan kepakaran atau sub-kepakaran mereka ke dalam jadual ke-4 dan ke-5 seperti yang dinyatakan di atas. Majlis Perubatan Malaysia akan menilai dan meneliti permohonan itu mengikuti peraturan-peraturan yang ditetapkan di dalam akta itu sendiri.
Dr Suhazeli Abdullah
21/8/2024