Berpeluh Berlebihan (Hyperhidrosis) dan Rawatannya

Dr Mohd Mazri Yahya
Pakar Perunding Bedah Am,Vaskular & Endovaskular, Hospital Pakar Regency, Masai, Johor

Hiperhidrosis tangan

Hiperhidrosis tangan

Penyakit berpeluh yang berlebihan dikenali sebagai Hyperhidrosis.  Ia berlaku pada hampir 1% daripada populasi terutamanya wanita. Perpeluhan yang tidak normal ini biasanya mengganggu kehidupan pesakit dan ia boleh berlaku di tangan, ketiak, kaki atau muka. Ada pesakit yang tidak ke masjid atau berdebar ketika hari raya menjelang tiba kerana tangan yang basah ketika bersalaman. Ada  pesakit yang mengadu berpeluh menitik-nitik tanpa sebab dan kaki yang berendam di dalam kasut disebabkan perpeluhan pada kaki. Ini menyebabkan mereka berasa sulit untuk menjalani kehidupan.
Penyebab penyakit hyperhydrosis ini masih belum diketahui. Walaupun begitu, ia dipercayai disebabkan oleh rangsangan saraf simpatetik yang berlebihan pada kelenjar peluh yang terlibat.

Terdapat pelbagai cara rawatan yang boleh dan pernah digunakan untuk merawat penyakit ini. Ia termasuklah penggunaan Ubat Sapu antiperspirant, pil antikolinergik dan iontophoresis. Namun kesannya tidaklah menyeluruh dan hanya berkesan pada sebilangan kecil pesakit sahaja. Begitu juga dengan penggunaan suntikan botulinum(Botox), walaupun berjaya untuk merawat pesakit tetapi biasanya ia adalah sementara. Pesakit memerlukan rawatan yang berulang-ulang kali setiap 3-6 bulan.

Rawatan pembedahan simpatektomi merupakan rawatan yang terbukti keberkesanannya. Terdapat pelbagai cara di dalam melakukan pembedahan tersebut dan cara yang terkini ialah melalui pembedahan lubang kunci (key-hole surgery) iaitu Endoscopic TransThoracoscopic Sympathectomy(ETS). Penggunaan ETS ini telah merubah cara rawatan penyakit hyperhydrosis daripada rawatan menggunakan ubat-ubatan kepada pembedahan.

Keberkesanannya dilaporkan sehingga 98% dengan kesan samping yang sangat kecil. Di antara kesan samping yang dilaporkan termasuk kerosakan saraf frenik, saraf brachial plexus, Sindrom Horner, perdarahan ruang paru-paru dan pneumothoraks. Tetapi semua komplikasi tersebut adalah sangat kecil iaitu pada kadar 1%. Komplikasi yang paling kerap dilaporkan ialah ‘Perpeluhan di tempat lain’ (Compensatory sweating) iaitu pada kadar 40%. Pesakit biasanya mengadu berpeluh pada badan atau peha selepas daripada pembedahan dijalankan. Ia boleh jadi sementara ataupun berkekalan.

Pembedahan ETS dilakukan selepas pesakit diberi bius menyeluruh(general anesthesia). Endoscope berbentuk Y akan dimasukkan ke dalam ruang paru-paru melalui luka sebesar 2cm di bawah ketiak. Saraf simpatetik ke 2 – 4 akan dikenalpasti melalui kamera pada endoskop tersebut dan seterusnya akan dipotong menggunakan mesin diathermi. Selepas luka dijahit, prosedur yang sama akan dilakukan di paru-paru berikutnya. Biasanya pesakit akan dibenarkan pulang pada hari berikutnya.

Secara kesimpulannya, ETS sangat berkesan untuk hyperhydrosis pada tangan dan muka dan sebahagian pada kaki. Kesan yang drastik dengan komplikasi yang minimal menyebabkan rawatan ini semakin popular di dalam merawat penyakit Berpeluh berlebihan.