PAPISMA Ucap Tahniah Langkah Tubuh Tabung Khas
Usaha Kerajaan Selangor Bebaskan Umat Islam Dari Belenggu Industri Arak Wajar Dicontohi.
PAPISMA Ucap Tahniah Langkah Tubuh Tabung Khas
Pertubuhan Amal Perubatan Ibnu Sina Malaysia (PAPISMA) mengucapkan syabas dan tahniah di atas keperihatinan pihak kerajaan negeri Selangor yang diketuai oleh YAB Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim di atas usaha menubuhkan tabung khas bagi menyelamatkan umat Islam daripada terjebak dengan industri arak yang merupakan dosa besar dalam Islam meskipun hanya
bekerja di premis-premis sahaja. Ketegasan YB Dato Dr. Hasan Ali yang merupakan exco kerajaan negeri Selangor dalam membela dan mempertahankan prinsip Islam dalam hal pengharaman terlibat dengan arak ini patut mendapat pujian dan contoh kepada banyak negeri lain demi menjaga kemaslahatan umat Islam dan rakyat Selangor khususnya dan rakyat seluruh negara umumnya.
Arak dalam Islam adalah benda yang terlarang yang wajib dijauhi. Al-Quran menjelaskan, “Wahai orang-orang yang beriman, sesungguhnya arak, judi, pemujaan berhala dan bertenung nasib dengan anak-anak panah, adalah perkara keji yang termasuk perbuatan syaitan. Oleh itu, hendaklah kamu menjauhinya agar kamu berjaya” (Al-Maidah: 90). Sabda Rasulullah Sallallahu ‘Alaihiwasallam yang bermaksud “Arak adalah ibu segala maksiat dan ianya adalah maksiat paling mengaibkan.” (Kitab Sunan Ibnu Majah jilid 3, Hadis no. 3371).
Oleh kerana kita memelihara hak beragama, di sana pula terdapat agama yang membenarkan meminum dan berurusniaga dengan arak, maka pengharaman penjualan arak adalah tidak praktikal. Namun bagi pemerintah Islam wajib bagi mereka memelihara umat Islam dari terlibat dengan arak dengan apa cara sekalipun meskipun mereka hanya terlibat menjualnya.
Dalam satu hadis dari Anas Radhiallahu ‘Anhu yang bermaksud; “Sepuluh orang yang dikutuk Allah berkaitan dengan arak ialah pembuatnya, pengedarnya, peminumnya, pembawanya, pengirimnya, penuangnya, penjualnya, pemakan wang hasilnya, pembayarnya dan juga pemesannya.” (HR At-Tirmizi dan Ibnu Majah).
Sebagai sebuah NGO Islam yang sentiasa memperjuangkan kesihatan dan kesejahteraan umat secara keseluruhannya, PAPISMA menyeru kepada seluruh rakyat Malaysia agar menjauhi arak. Malah kepada pemimpin negeri dan negara serta mereka yang berkuasa, mereka seharusnya menggunakan keupayaan mereka untuk menghalang mereka yang berada di bawah jagaan mereka dari terlibat dengan arak. Kajian di Amerika Syarikat menunjukkan kes zina, rogol, sumbang mahram dan AIDS lebih tinggi di kalangan peminum alkohol. Pada tahun 1996 sahaja, purata 2,713 kes rogol berlaku setiap hari. Statistik ini menunjukkan bahawa kebanyakkan perogol mabuk semasa melakukan jenayah tersebut (Sumber : Biro Keadilan Mangsa Jenayah Kebangsaan (Jabatan Keadilan Amerika Syarikat).
Di United Kingdom pula statistik rasmi menunjukkan, alkohol menyebabkan hampir 45-46% kejadian jenayah, ia juga melibatkan 39% keganasan dalam rumah tangga dan kajian juga menunjukkan hampir sejuta serangan ganas yang berlaku dalam tahun 2007-2008, dipercayai dilakukan oleh mereka yang sedang mabuk atau separa mabuk.
Manakala kajian kesihatan juga membuktikan bahawa arak boleh merosakkan kesihatan seperti tekanan darah tidak menentu, rosaknya urat saraf, menyebabkan hepatitis, sakit jantung, rosak buah pinggang, kanser, angin ahmar, lumpuh, dan gila. Semua ini akan meningkatkan kos rawatan di hospital dan mengurangkan produktiviti sesebuah negara. Ketagihan arak akan merosakkan institusi keluarga, masyarakat dan negara. Dalam jangkamasa panjang arak akan merugikan negara.
Oleh itu PAPISMA sangat mengalu-alukan langkah kerajaan negeri Selangor untuk bekerjasama dengan Lembaga Zakat Selangor dalam membantu rakyat mencari jalan keluar yang terbaik kerana ramai di kalangan mereka barangkali terpaksa mencari rezeki di premis-premis menjual arak bagi menyara kehidupan keluarga. Serentak dengan itu, penguasaan undang-undang yang melarang umat Islam dari bekerja di premis-premis arak adalah sangat tepat sebagaimana yang telah dilakukan oleh Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) itu.
Langkah itu sebenarnya tidak merugikan sesiapa, malah jika diteliti dengan mendalam, ianya menguntungkan semua pihak. Umat Islam mendapat rezeki halal dan berkat, penganut agama lain terus bebas mengamalkan agama mereka, sumber cukai arak masih boleh diperolehi dan digunakan untuk ruang-ruang yang dibenarkan, tidak berlaku prasangka antara Islam dan bukan Islam dalam masalah arak manakala wang zakat pula dapat memberi lebih manfaat kepada mereka yang memerlukannya agar dapat bebas daripada belenggu dosa besar.
Sebagai akhirnya saya mewakili Pertubuhan Amal Perubatan Ibnu Sina Malaysia(PAPISMA) sekali mengajak seluruh badan-badan berwajib di Malaysia agar mencontohi langkah yang diambil oleh negeri Selangor.
Al-Faqir Ilallah..
Awisul Islah bin Ghazali
Presiden Papisma 2010-2012
Related posts:



