Belasungkawa TGNA

12 Feb 1949 ummah kehilangan seorang sosok yang besar, Hasan Al-Banna Rahimahullah. Beliau meninggalkan legasi yang sangat besar dengan gerakan Ikhwan Al-Muslimun yang beliau gagaskan. Menjadi pencetus kepada hampir semua gerakan dan jemaah Islam yang ada hari ini.

66 tahun kemudian, tanggal 12 Feb 2015, sekali lagi ummah kehilangan seorang lagi permata yang telah memberi sumbangan yang begitu besar dan bernilai dalam memperjuangkan Islam. Tuan Guru Nik Abdul Aziz Rahimahullah. Beliau menjadi Menteri Besar Negeri Kelantan bermula 22 Oktober 1990. Terlalu banyak ijtihad siyasi yang dilakukan oleh TGNA. Antara yang paling terkenal, ialah keberanian beliau membebaskan perbendaharaan negeri Kelantan daripada riba. Ketika perbankan Islam baru mula bertapak di Malaysia, TGNA bertindak memindahkan seluruh kewangan negeri ke Bank Islam, satu langkah besar yang pertama di seluruh Malaysia ketika itu.

Ketinggian ilmu dan peribadi murabbi Tuan Guru Nik Abdul Aziz diakui kawan dan lawan. Ribuan rakyat telah beroleh hasil didikan beliau dan jutaan lagi turut merasai tempias pandangan-pandangan hikmah dari beliau melepasi sempadan agama dan bangsa.

Tanggal 9.45 malam 12 Feb 2015 tercatat dalam sejarah Malaysia saat pemergian Dato’ Bentara Setia Tuan Guru Hj Nik Abdul Aziz Hj Nik Mat atau lebih mesra dikenali sebagai Tok Guru.

Pemergian Tok Guru sangat dirasai oleh kawan mahupun lawan. Ini menandakan, di saat kita pergi, fahaman politik bukanlah paling utama, namun apa yang dibuat ketika berpolitik yang mengikut acuan Allah (sibghatallah) yang menentukan nasib kita bila dihidupkan kembali.

Jasa beliau yang memangkin perkembangan bank-bank patuh syariah bakal membawa pahala yang tiada putusnya dan rekod 23 tahun memerintah tanpa kes rasuah di kalangan politikus Kerajaan Kelantan harus diambil contoh di saat negara menghadapi ketirisan wang yang banyak.

Kami daripada NGO Pertubuhan Amal Perubatan Ibnu Sina Malaysia (PAPISMA Malaysia) mengucapkan takziah kepada keluarga Tok Guru dan menyeru semua ahli politik tidak kira fahaman agar mengambil semua mutiara berharga yang beliau tinggalkan demi kelansungan kemakmuran Malaysia di zaman sukar ini.

Innalillahiwainnailaihiraji’un. Uhibbuka Tok Guru.

Awisul Islah Ghazali
Presiden Papisma Malaysia
Dan Barisan Exco-exco.

Be Sociable, Share!

Related posts:

  1. Mencari Ibnu Sina di Zaman Kini 1
  2. Khatan Perdana Seluruh Kelantan
  3. Program ‘Help the Helpless’ di Kuala Krai
  4. Jamuan PAPISMA Terengganu
  5. Dr Syed Abdul Khaliq Selamat menjejaki kaki ke bumi Gaza, Palestine