Tazkirah Sayyidul Ayyam: Al-Qalb dan Penyakit ‘Hati’

Rasulullah saw bersabda, ‘Sesungguhnya dalam diri manusia terdapat segumpal daging. Jika gumpalan daging itu bagus maka akan baguslah seluruh anggota tubuh. Jika gumpalan daging itu rosak maka akan rosak pula seluruh anggota tubuh. Ketahuilah, gumpalan daging itu adalah al-Qalb (jantung).” (HR Bukhari dan Muslim)
Perbahasan berkenaan al-Qalb sebagai ‘hati’ atau jantung adalah berkenaan istilah. Apa yang penting kita perlu faham al-Qalb adalah apa yang ada di dada dan bukan apa yang ada di perut.
Penyakit fizikal yang padanya dibebankan oleh ‘hati’ yang rosak sudah tentu memberi kesan yang lebih parah. Akan timbul rasa tidak mengharap pada yang Maha Menyembuh (Asy-Syafii). Lantas tidak menerima kesakitan fizikal sebagai Kaffarah (penghapus dosa) yang dijanjikan oleh Al-Ghaffur. Akan timbul juga putus harap sedangkan Rasulullah saw bersabda, “Sesungguhnya Allah telah menurunkan penyakit , dan Dia telah menjadikan bagi tiap-tiap penyakit itu penawar…” (HR Abu Daud).
Sebagaimana jantung perlu dipelihara supaya tidak berpenyakit. Begitu jugalah al-Qalb perlu dipelihara agar agar jauh dari ‘penyakit hati’. Penyakit fizikal tidak membawa kepada permusuhan, pergaduhan dan peperangan. Akan tetapi, penyakit hati akan membawa kepada permusuhan, pergaduhan dan peperangan malah kehancuran.
Sepertimana penyakit fizikal perlu dibendung dengan melaksanakan cara hidup yang sihat. Begitu jugalah jangan dibiar ‘hati’ anda berpenyakit. Jagalah ‘hati’ dengan tekun dan bersungguh. Berinya makan yang cukup dengan jalan solat, zikrullah, membaca Al Quran, selawat, tadabbur kebesaran-Nya melalui zikir alam dan sentiasalah ingat kepada kematian. Pakaikannya dengan pakaian ketaqwaan dan hindarilah ‘hati’ dari sifat mazmumah (sikap yang tercela).
Marilah kita renungkan firman Allah SWT,
“Oleh itu, bukankah ada baiknya mereka mengembara di muka bumi supaya (dengan melihat kesan-kesan yang tersebut) mereka menjadi orang-orang yang ada hati yang dengannya mereka dapat memahami, atau ada telinga yang dengannya mereka dapat mendengar? (Tetapi kalaulah mereka mengembara pun tidak juga berguna) kerana keadaan yang sebenarnya bukanlah mata kepala yang buta, tetapi yang buta itu ialah mata hati yang ada di dalam dada” (al-Hajj:46)
Semoga tazkirah ringkas sempena sayyidul ayyam ini membawa keinsafan agar kita sentiasa fokus dan bertangggungjawab terhadap segala urusan dan perlaksanaan.
Related posts:




