Khatan Nusantara PAPISMA – Kemboja 2012

Ketika anak-anak kita melangkah riang ke sekolah, ada kanak-kanak lain yang melangkah lemah dan dhaif. Ketika anak-anak kita gembira menghabiskan masa bermain komputer dan internet, ada kanak-kanak lain terpaksa menghabiskan masa membantu ayah dan ibu mencari sesuap pagi dan sesuap petang. Demikian jugalah salah satu tuntutan agama kita, iaitu mengkhatankan anak laki-laki. Ketika mana anak-anak kita mengharungi proses khatan ini dengan teknik moden dan pembiusan yang menghilangkan rasa sakit, ada kanak-kanak yang masih terpaksa mengharunginya dengan kaedah tradisional puluhan tahun dahulu. Kaedah yang menyakitkan dan berisiko pula untuk mendapat pendarahan dan jangkitan kuman.

Mengkhatan seorang anak lelaki, maka kesannya seumur hidup. Wudhuknya, taharahnya, solatnya, hajinya, bahkan jimaknya dengan isteri menjadi amalan sunnah yang lebih sempurna. Logiknya jikalau kita bantu khatankan seorang anak lelaki maka pahalanya in sha Allah berpanjangan.

Sejak beberapa tahun yang lepas, sukarelawan-sukarelawan PAPISMA dengan kerjasama NGO-NGO lain terutamanya AMAL Malaysia (Yayasan Amal Malaysia) telah mula merentasi sempadan-sempadan geografi untuk membantu kanak-kanak saudara-saudara Islam kita yang dhaif menjalani ibadah berkhatan ini dengan kaedah yang lebih moden dan selamat.

Sukarelawan-sukarelawan kita pada tahun ini akan pergi ke bumi Kemboja yang satu ketika pernah di nodai oleh regim Polpot, membunuh ratusan ribu rakyat Kemboja termasuk puluhan ribu umat Islam. Misi yang sama pernah dijalankan di Kemboja beberapa tahun lepas, malah sukarelawan kami pernah ke Acheh, kepulauan Borneo dan Mindanao untuk menjayakan usaha ini. Selain daripada menjalankan khatan kepada kanak-kanak lelaki Muslim di negara yang terlibat, misi ini juga akan berusaha memberi pendidikan dan tunjuk ajar kepada masyarakat setempat berkaitan kaedah berkhatan yang moden dan selamat disamping teknik penjagaan luka yang betul.

Misi ini akan bergerak ke Kemboja pada 25hb Disember 2012 dan dijangka selesai pada 28hb Disember 2012. Program Khatan Nusantara ini akan diadakan setiap tahun bagi menjelajahi negeri-negeri di Nusantara seperti Mindanao, Riau, Sabah, Sarawak, Kemboja, Vietnam, Thailand, Burma dan lain-lain bagi menzahirkan kesatuan Ummah yang melepasi sempadan geografi dan budaya.

Be Sociable, Share!

Related posts:

  1. Pelancaran Khatan Nusantara- Program merentasi sempadan pasport dan visa PAPISMA
  2. MISI BERKHATAN KEMBOJA 2011
  3. Khatan, remaja dan kesihatan
  4. Mesyuarat Papisma Pusat Bil 9/2012
  5. Program Sulong Berkhatan – PAPISMA Utara