Cerpen: Dunia dan Jiwa

Cerpen: Dunia dan Jiwa

BAB 1

11.30 mlm, 22 Jun 2009, Dewan Tunku Syed Putra, USM.

“Terima kasih USM!!!” jerit M.Nasir kepada para peminat.

Gamat, gempak-gempita, riuh-rendah dan bersemarak semangat para penonton bersorak bertepuk di akhir  Konsert Penutup Kovokesyen USM 2009. Lampu kabus berwarna biru berayun-ayunan, mewarnai kabus buatan serta warnaan lazer merah menyala memanaskan dan menghidupkan jiwa gelora berhibur para penonton. Bermula dengan lagu Mentera Semerah padi, yang merasuk dan memukau semangat gila muda-mudi, yang kemudiannya diakhiri lagu Bonda, yang menyentuh kalbu hinggakan yang keras membatu terbelah terkulai dihimpit hiba, begitulah gilanya aura lagu-lagu M.Nasir menyentuh jiwa-jiwa mahasiswa dan mahasiswi USM malam itu.

*********************************************************************************

“Saya selaku timbalan pengarah Konsert Penutup Konvokesyen USM 2009 ingin mengucapkan terima kasih kepada semua AJK kita pada malam ini. Sepertimana yang dijanjikan, semua AJK akan diberikan markah 10 unit bagi merit menduduki asrama untuk semester hadapan. Pengarah ingin berpesan apa-apa? Atau kita akan adakan jamuan penghargaan untuk mereka semua?” ucap Yusra.

Semua AJK yang telah berhimpun di depan pentas Dewan Tunku Syed Putra sudah mula mengua-nguap. Jam sudah 12.55 tengah malam. Masih ada janji perlu dituntut dan tugas yang perlu diselesaikan.

“Terima kasih Timbalan Pengarah. Terima kasih semua. Saya lebih suka berterus terang dan tidak suka hipokrit. Mungkin saudara-saudari sekalian boleh agak, mana-mana pengarah mesti memuji dan membodek para AJK-nya. Jadi ditengah-tengah malam macam ini, tidak perlulah saya bercakap banyak,” kata Amri.

Para AJK kehairanan dengan ucapan Amri. Bunyinya tidak enak, perkataannya agak negatif dan langsung tidak menyentuh hati-hati yang letih layu bertugas menjayakan konsert itu. Mereka saling berpandangan sesama mereka. Entah kemana pengarah mereka hendak berceloteh ditengah-tengah malam begini…

“ Saya faham, anda semua  menjadi AJK bagi menambah markah merit bagi mencukupkannya untuk menduduki asrama bagi semester hadapan. Saya pun begitu juga. Jadi anda sudah mendapatkan apa yang saudara-saudari hendakkan. Kita semua dapat bahagian masing-masing… jadi selesai sahaja semua tugas, saya cuma masih perlukan laporan unit masing-masing untuk saya kumpulkan dan hantar kepada Jabatan Hal Ehwal Pelajar. Sekian, terima kasih….” tutup Amri.

Pendek, tuntas, pantas, tetapi menggeram dan menyakitkan hati.

“Apa, dia ingat semua orang hendak markah merit? Jadi pengarah senanglah cakap. Kita yang dah 3 malam tidur 4 pagi menghias dewan ini, ingat sepadan sangat ke markah tu?!!” bisik seorang mahasiswa.

“Errr…pengarah, err…Amri… jamuan tu macamana? Tiap-tiap tahun senior kita buat untuk kita,” tanya Yusra apabila melihat Amri mula melangkah untuk keluar dewan.

“Oh…yang tu. Emmm…tidak payahlah. Baik semua “study”. Jamuan bukan ada markah lebih pun… ok? Saya sudah mengantuk ni. Jumpa esok semua. Siapkan tugas masing-masing ya…” kata Amri penuh selamba.

Semua AJK terdiam, tidak tahu apa hendak dikata. Luarbiasa, pelik dan pelbagai soalan timbul dibenak fikiran mereka. Semua mata, terpaku melihat Amri melangkah keluar dewan.

Memanglah dia seorang yang berbadan tegap, wajahnya pun boleh kira tampan, ala-ala P.Ramlee kurus dizaman muda. Walaupun berseluar jeans Levis dan berbaju-t Polo, namun jalannya memang  nampak berkharisma. Bisa sahaja dicocokkan dengan dengan jalan bak seorang Perdana Menteri.  Sesuailah dia dijadikan pengarah konsert dari lagaknya itu.

Namun, terpakunya mata-mata memandangnya keluar dewan malam itu bukanlah kerana karisma atau aura si Amri. Semua sekadar menunggu saat dia keluar dewan itu.

“Piiiiraaaahhhh… entah macamana boleh jadi pengarah aku pun tak tahu. Langsung tak menghargai orang lain!” rungut seorang AJK.

“Alaaahh, nasib baik rapat dengan pengarah lepas. Kalau tidak, jangan haraplah. Taubat, lepas ini aku takkan tolong mana-mana program yang dia anjur. Ingat aku lapar sangat dengan markah merit tu? Hemmpphh…” rungut yang lain.

Bersambung….

Share and Enjoy:
  • Facebook
  • Google
  • Furl
  • Print this article!

Related posts:

  1. Cerpen kehidupan seorang muslimah
  2. NICE 2009
  3. Selamat Datang Peserta NICE 2009
  4. Konvensyen Kebangsaan PAPISMA 2009
Wordpress Themes - Wordpress Video Themes - Wordpress Travel Themes - WordPress Restaurant Themes